Friday, February 13, 2015

PUSAT LATIHAN PEPERANGAN KHAS
(PULPAK)

Latar Belakang Penubuhan

Sejarah penubuhan Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK) atau pada asalnya dikenali sebagai  Pusat Latihan Peperangan Khas (PLPK) bermula sejajar dengan pembesaran Rejimen Gerak Khas pada tahun 70an. Ianya ditubuhkan khusus untuk melatih anggota-anggota Gerak Khas dan Angkatan Tentera Malaysia amnya. Perkembangan politik dan ketenteraan serantau di Asia Tenggara telah membangkitkan idea untuk melahirkan satu pusat latihan khas untuk melatih anggota-anggota yang pakar dalam bidang masing-masing terutama bagi anggota Pasukan Gerak Khas. Sebelum pusat ini ditubuhkan, latihan-latihan asas dan kepakaran  untuk operasi khusus telah dikendalikan oleh Rejimen Pertama Gerak Khas (kini Rejimen 21 Komando). Di atas sebab-sebab keperluan mendadak latihan khusus, peningkatan  kos untuk membiayai  anggota  mengikuti kursus di bidang tertentu di luar negara serta aliran arus perkembangan pasukan khusus di dunia, akhirnya Pusat Latihan Peperangan Khas telah ditubuhkan di dalam Tentera Darat.  


Perubahan Nama dan Saluran Pemerintahan 

Sejak penubuhannya pada tahun 1977, Pusat Latihan Peperangan Khas dikenali sebagai PLPK ATM. Ini adalah kerana Pusat ini memainkan peranan melatihkan anggota pasukan khusus dari ketiga-tiga perkhidmatan ATM. Pada tahun 1985, PLPK ditukarkan nama kepada PLPK TD apabila pihak TLDM dan TUDM masing-masing menubuhkan pusat latihan pasukan khusus masing-masing di Lumut (TLDM) dan di Ipoh (TUDM). Pusat Latihan Peperangan Khas sekali lagi bertukar nama pada tahun 1995, apabila nama-nama semua institusi latihan TD diselaraskan seiring dengan penubuhan Pemerintahan Latihan Tentera Darat. Kini Pusat ini dikenali sebagai Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK) dan diletakkan di bawah pemerintahan Markas Latihan Tentera Darat. Sementara itu Markas 21 Gerup Gerak Khas mengawasi urusan pentadbiran tempatan  kerana lokasi PULPAK di Kem Sungai Udang. Kawalan teknikal PULPAK terus ditangani oleh Sel Operasi Pasukan Khusus  (SOPASUS)  di Cawangan OPLAT,  Markas Tentera Darat.  

Tarikh Ditubuhkan


Pusat Latihan Peperangan Khas diwujudkan pada 11 Ogos 76 dengan seramai 13 orang pegawai dan 143 lain-lain pangkat. Objektif utama ketika itu tidak lebih dari melatih dan mengendalikan kursus kepakaran bagi memenuhi keperluan Rejimen Gerak Khas. Pada awal penubuhannya, pusat latihan ini diwujudkan dengan beberapa cawangan dan terup tertentu sahaja iaitu Cawangan Komando, Cawangan Payung Terjun, Cawangan Amfibi, Cawangan Tadbir dan Terup Semboyan.

Tempat DiTubuhkan

Pada awal penubuhan PULPAK, segala latihan-latihan asas dan kepakaran  untuk operasi khusus dilaksanakan di Rejimen Pertama Gerak Khas (kini Rejimen 21 Komando), Kem Sungai Udang, Melaka.






 

No comments:

Post a Comment